Thursday, May 28, 2015

Mengenal Pasti Bahagian Bulatan

Bulatan (circle) ialah satu set titik yang sama jarak dari satu titik tetap. Jadi, bulatan ialah lokus bagi suatu titik yang bergerak supaya jaraknya dari satu titik tetap adalah sentiasa sama.


Lilitan (circumference) ialah perimeter bagi suatu bulatan.

Pusat bulatan (centre of a cirlce) ialah suatu titik tetap dalam bulatan yang berjarak sama dari semua titik pada lilitan bulatan.

Jejari (radius) ialah jarak di antara pusat bulatan dengan sebarang titik pada lilitan bulatan itu.

Diameter ialah suatu garis yang melalui pusat bulatan dan kedua-dua hujung garis yang berada pada lilitan bulatan.


Lengkok (arc) ialah sebarang bahagian pada lilitan, dimana;
  • Lengkok major (major arc) ialah lengkok yang lebih besar daripada separuh lilitan.
  • Lengkok minor (minor arc) ialah lengkok yang lebih kecil daripada separuh lilitan.


Sektor (sector) ialah rantau dalam bulatan yang dibatasi oleh dua jejari dan lengkok bulatan.
  • Sektor major (major sector) ialah rantau yang lebih besar daripada separuh luas bulatan.
  • Sektor minor (minor sector) ialah rantau yang lebih kecil daripada separuh luas bulatan.

Tembereng (segment) ialah rantau dalam bulatan yang dibatasi oleh satu lengkok dan satu perentas (chord).
  • Tembereng major (major segment) ialah rantau yang lebih besar daripada separuh luas bulatan.
  • Tembereng minor (minor segment) ialah rantau yang lebih kecil daripada separuh luas bulatan.


Semibulatan (semicircle) ialah rantau yang dibatasi oleh diameter dan lengkok bagi suatu bulatan.


Sukuan bulatan (quadrant) ialah satu per empat daripada suatu bulatan.


Friday, May 15, 2015

Membina Tembereng Garis

Pembinaan geometri ialah suatu proses melukis rajah geometri yang memenuhi syarat-syarat tertentu.

Alat-alat yang digunakan ialah jangka lukis (compasses), sesiku (set square) dan pembaris (ruler).

Sesiku (set square).

Jangka lukis (compasses).

Pembaris (ruler).

Alat tepi lurus ialah alat yang mempunyai tepi lurus (straight edge) seperti sesiku atau pembaris yang digunakan untuk melukis tembereng garis.

Tembereng garis (line segment) ialah bahagian diantara dua titik pada suatu garis lurus dengan panjang yang terbatas.

AB ialah tembereng garis panjang 6 cm.


Contoh

Bina tembereng garis PQ panjang 7 cm.

Penyelesaian:

Langkah 1:
Dengan menggunakan pembaris, lukis satu garis lurus. Tandakan titik P pada garis tersebut dengan pensel.



Langkah 2:
Buka jangka lukis (compasses) sehingga jejarinya 7 cm.



Langkah 3:
Letak jangka lukis pada titik P. Lukis satu lengkok kecil yang bersilang pada garis lurus itu. Label titik persilangan sebagai Q. Maka, PQ ialah tembereng garis (line segment) dengan panjang 7 cm.





Nota: 
  • Gunakan pensil yang tajam semasa melakukan pembinaan geometri.
  • Semua garis pembinaan dan lengkok pembinaan mesti dilukis dengan jelas dan kemas. Jangan padam garis-garis pembinaan.

Thursday, May 7, 2015

Mengenal Pasti Perimeter Suatu Kawasan

Perimeter ialah ukuran panjang sempadan / batasan yang mengelilingi sesuatu kawasan dengan selengkapnya.

Contoh

Kenal pasti perimeter bagi rajah di bawah.


Penyelesaian:

Perimeter = PQ + QR + RS + SP

Nota: Panjang pepenjuru QS tidak dikira sebagai perimeter dalam rajah PQRS di atas.